RAMAI daripada kita memang tak suka makan sayur mungkin disebabkan rasanya yang tawar, hambar dan adakalanya pahit. Tetapi sayur-sayuran sangat penting untuk tubuh agar tetap sihat.
Pakar diet Maggie Michalczyk berkata, sayuran memiliki banyak manfaat memandangkan ia kaya dengan vitamin, mineral, antioksidan dan serat.
Kesemua elemen itu sangat diperlukan tubuh agar dapat berfungsi dengan baik serta mencegah penyakit kronik.
Selain antioksidan, sayur-sayuran juga penting sebagai sumber serat bagi membantu pencernaan dan rasa kenyang selepas makan.
Maggie memberitahu terdapat beberapa tanda yang ditunjukkan oleh badan sekiranya kita kurang makan sayur dan itu termasuklah;
1. Perubahan 'mood' yang ketara
Maggie memberitahu, individu yang kurang makan sayuran dan hanya mengambil juadah berlemak, tinggi karbohidrat atau makanan proses akan menghasilkan ledakan kalori yang boleh mengakibatkan kepenatan, hilang ingatan dan perubahan 'mood'.
Jadi mulai sekarang tambahlah sayur-sayuran berkhasiat dalam menu anda kerana ia juga dapat memberi tenaga dalam jangka masa panjang.
"Kajian ada menunjukkan individu yang kurang makan sayur atau buah-buahan lebih berisiko mendapat masalah mental seperti kemurungan," katanya.
2. Mudah lapar
Mungkin kita merasakan makan sayur tidak kenyang tetapi sebenarnya sayuran membantu membuatkan rasa kenyang malah ia lebih lama bertahan dan meningkatkan tenaga.
Maggie memberitahu bahawa tidak makan sayur sebenarnya membuatkan seseorang lebih mudah lapar dan sentiasa ingin mengunyah sesuatu.
3. Kulit kusam
Sayuran mengandungi antioksidan yang dapat membantu melindungi tubuh daripada radikal bebas yang dapat merosakkan tekstur kulit.
Penulis buku berjudul The Small Change Diet iaitu Keri Gans memberitahu sayuran seperti tomato, timun mengandungi banyak air yang dapat melembapkan kulit.
4. Mudah alami kekejangan otot
Sementara itu, Keri turut memberitahu kurang makan sayur boleh menyebabkan serangan kekejangan otot kerana ia memerlukan kalium yang cukup.
Kekejangan otot berlaku kerana kadar mineral yang sangat rendah dan Keri memberitahu buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber kalium terbaik.
5. Masalah sembelit
Sayuran mempunyai banyak serat yang membantu mengangkut lebih banyak sisa pencernaan dan membantu pergerakannya ke usus lebih cepat.
Oleh sebab itu juga, kurang makan sayur boleh menyebabkan masalah sembelit.
Kredit : mstar.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan