Jumaat, 3 Julai 2020

Tiada Pelaburan Yang Sempurna

PELABURAN SEMPURNA TIDAK WUJUD  
  

Hakikatnya, dalam dunia pelaburan, istilah 'pelaburan sempurna' tidak wujud. Semua pelaburan mempunyai kebaikan serta keburukan masing-masing. Sebagai contoh; sesuatu pelaburan yang memberikan pulangan yang sederhana, biasanya berisiko lebih rendah berbanding dengan pelaburan yang memberikan pulangan tinggi. Pelaburan yang memberikan pulangan yang amat lumayan pula akan memerlukan masa dan daya usaha anda, dan pelaburan yang tidak memerlukan sebarang usaha akan memberikan pulangan yang kurang lumayan.  Merujuk kepada keadaan itu, anda perlu meneliti pilihan anda dan membuat pilihan yang paling sesuai untuk mencapai objektif anda.  

Salah satu perkara penting yang berhubungkait dengan pelaburan adalah faktor risiko. Sama seperti yang dikatakan mengenai 'pelaburan sempurna', 'pelaburan tanpa risiko' juga tidak wujud! Yang paling hampir sekali pun, merupakan Sekuriti Kerajaan Malaysia. Namun begitu, kita tidak boleh terlalu pasti!  

Di dalam dunia pelaburan, untuk mendapatkan pulangan yang tinggi, anda perlu mengambil risiko yang tinggi. Sekiranya anda tidak mampu mengambil risiko, anda perlulah berpuas hati dengan pulangan rendah atau sederhana. Ini merupakan prinsip utama di dunia pelaburan. Untuk pengetahuan anda, bukan saya yang menetapkan prinsip ini. Ianya sudah diamalkan lama sebelum saya mula berjinak-jinak dengan dunia pelaburan ini!  

Sebagai contoh, akaun simpanan di bank adalah selamat dan risikonya sangat kecil (sekurang-kurangnya, bukan bank-bank di Malaysia). Malah, tiada satu bank pun yang mempunyai perkataan 'risiko' yang dikaitkan dengannya. Tetapi, disebabkan risikonya yang begitu rendah, pulangannya adalah serendah 2 atau 3 peratus setahun! Pulangan yang tidak mungkin akan dapat merealisasikan impian anda dalam masa terdekat ini.  

Bertentangan dengan itu, komoditi pula merupakan pelaburan berisiko tinggi, dan berpotensi memberikan pulangan yang lumayan. Walaupun pulangannya boleh menggunung, namun risikonya juga amatlah tinggi. Berapa tinggi? Lebih daripada 90 peratus pelabur individu kehilangan wang dalam bidang pelaburan ini. Maka sahabatku, risikonya adalah tinggi, tinggi dan tinggi!  

Seterusnya, pulangan daripada pelaburan 'lepas tangan' adalah terhad. Janganlah impikan bintang-bintang di langit atau berdiri sama tinggi dengan Bill Gates kerana anda telah melabur dalam saham, unit amanah, ataupun apa-apa jenis pelaburan lain.  Ingat bahawa; (1) orang lain yang menguruskan wang anda, dan (2) anda langsung tidak memberikan sebarang usaha kepada pelaburan ini. Sebagai contoh, pada saat anda membeli saham, tiada apa yang anda dapat lakukan untuk memastikan saham itu meningkat nilainya (selain daripada berdoa!). Lebih-lebih lagi, anda tidak menyumbang apa-apa – tenaga, usaha mahupun masa anda.  

Di dalam dunia nyata ini, pelaburan sebegini sentiasa ada harganya. Dan harga yang dimaksudkan daripada pelaburan 'lepas tangan' seperti ini adalah pulangan yang 'berpatutan', dan tidak setinggi yang diingini. Dalam kata lain, wang anda cuma boleh digandakan sekadar cukup-cukup makan sahaja.

Sumber : - eZine Azizi Ali

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...