MEMILIKI bantal busuk bukanlah perkara pelik, kerana rata-rata kanak-kanak memilikinya, namun jangan juga terkejut memandangkan orang dewasa juga tidak boleh meninggalkan 'khazanah' istimewa itu.
Tidak kira besar atau kecil saiz bantal itu, hakikatnya ia tidak pernah dicuci dan semakin lama, 'aromanya' itu membuatkan anda bertambah sayang.
Tetapi awas, ada perkara yang perlu anda tahu mengenai bantal kesayangan ini.
Menurut kajian, purata manusia menghabiskan waktu di atas katil adalah sekitar 36 tahun seumur hidup. Jadi jangan terkejut jika melihat orang dewasa termasuk lelaki atau wanita yang masih menghidu bantal busuk ini.
Tahukah anda bantal busuk itu kemungkinan mempunyai miroorganisma yang boleh memberi kesan kepada kesihatan kita.
1. Alahan
Hama adalah pepijat kecil yang wujud di kawasan berdebu dan berhabuk termasuklah kelengkapan tidur yang tidak dicuci dengan baik serta kerap.
Kesannya, ia akan mencetuskan alahan yang mungkin mengakibatkan simptom seperti mata merah dan gatal, hidung berair, asma, lelah serta gangguan pernafasan.
2. Gangguan tidur
Kulat yang banyak wujud pada bantal busuk mungkin boleh menyebabkan gangguan tidur khususnya apnea tidur obstruktif – pernafasan terhenti ketika sedang tidur.
3. Penyakit akut
Kulat bernama Aspergillus fumigatus akan menyebabkan kondisi Aspergillosis yang boleh mengundang maut jika terkena pada penderita leukemia dan HIV/AIDS.
4. Mengakibatkan jangkitan
Bakteria bernama Staphylococcus aureus akan menyebabkan jangkitan Staph yang mungkin agak jarang berlaku namun boleh mengakibatkan kematian.
Selain itu, bakteria Bacteroides pula boleh menyebabkan jangkitan radang paru-paru dan apendiks.
Tidak lupa juga bakteria bernama fusobacteriaceae dan neisseriaceae yang akan menjejaskan imuniti kepada penyakit jangkitan kelamin khususnya gonorea.
5. Menimbulkan masalah kulit
Bantal busuk yang tidak dicuci dengan baik serta kerap akan mengakibatkan debu dan habuk tertinggal di situ.
Akibatnya, ia akan menjejaskan atau merengsakan kulit badan lalu timbul masalah kulit seperti jerawat dan jeragat.
Sekiranya anda kerap keluar rumah, partikel debu dan habuk memang mudah melekat pada badan lebih-lebih lagi dengan pemakaian losyen atau kosmetik.
6. Peluh
Peluh manusia mungkin boleh mengakibatkan penyakit dan jangkitan seperti Staph dan Strep – merebak melalui liang pori kulit badan kita.
Jika tidur bersama pasangan atau individu lain, risiko dijangkiti adalah lebih tinggi.
Risiko
Kelengkapan tidur ini berisiko mengakibatkan maut yang mengejut khususnya buat golongan kanak-kanak.
Ia adalah disebabkan oleh kondisi bernama Sudden Infant Death Syndrome (SIDS) yang boleh berlaku akibat bahagian muka tertindih atau terhempap dengan bantal.
Ini sekali gus menyebabkan mereka tidak mampu untuk bernafas apatah lagi untuk meminta tolong kerana mereka mungkin sedang tidur atau masih kecil untuk bersuara.
kredit : mystar.com.my