Khamis, 16 Julai 2020

Adakah Produk-Produk Tradisional Di Malaysia Selamat?

Tahukah anda, herba merupakan sumber terawal ubat-ubatan dan digunakan secara meluas di seluruh dunia (WHO, 2002)? Ketika ini, ubatan herba boleh diperolehi dalam pelbagai bentuk dosej seperti tablet, kapsul, sirap, krim dan juga plaster. Namun, pernahkah anda terfikir, adakah ubatan herba yang dikategorikan sebagai ubat tradisional tersebut benar-benar selamat untuk diambil dan digunakan?

Kredit :- KKM

Ubat tradisional daripada sumber semulajadi

Umum beranggapan ubat tradisional yang berasal daripada sumber semulajadi adalah tidak merbahaya dan selamat untuk diambil. Walaubagaimanapun, hakikatnya herba juga berpotensi untuk dicemari dengan logam berat samada yang hadir melalui tanah, air atau udara. Ernst (2002b) melaporkan terdapat kes keracunan arsenik, merkuri, plumbum dan kadmium daripada ubat herba dari Asia. Ini menunjukkan bahawa ubat tradisional boleh dicemari dengan logam toksik.

Ubat tradisional yang berasal daripada herba juga boleh dicemari dengan bakteria dan kulat terutama jika proses selepas pengumpulan tumbuhan herba seperti pengeringan tidak dilakukan dengan sempurna.

Di Malaysia, ubat tradisional didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk memastikan ianya selamat dan berkualiti. Untuk memastikan ia tidak tercemar dengan logam berat, mikroorganisma dan juga bahan campur palsu, pengujian makmal berkaitan akan dilakukan. Bagi menentukan kualiti produk pula, ujian keseragaman berat dan pengecaian juga dijalankan untuk ubat tradisional dalam bentuk tablet dan kapsul.

Pengujian ke atas ubat tradisional

Logam berat seperti arsenik, merkuri, plumbum dan kadmium boleh mendatangkan kesan toksik yang serius seperti yang disenaraikan dalam Jadual 1 di bawah:

Selaku sekretariat kepada PBKD, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) bertanggungjawab untuk menguji dan memastikan paras logam berat dalam ubat tradisional tidak melebihi had yang ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam jadual 2. 



Ujian logam berat akan dijalankan untuk produk-produk tradisional sebelum dan selepas pendaftaran untuk memastikan ubat-ubat tradisional yang diambil oleh pengguna adalah selamat dan berkualiti.
Untuk memastikan ubat tradisonal selamat daripada dicampur palsu dengan ubat terkawal sebelum dipasarkan, penyaringan bahan campur palsu ke atas ubat tradisional dengan indikasi tertentu turut dijalankan oleh BPFK. Produk ubat tradisional dengan indikasi-indikasi berikut perlu diuji samada mengandungi ubat terkawal iaitu:

  • Untuk kesihatan lelaki
  • Untuk menurunkan berat badan
  • Untuk sakit otot dan sendi
  • Untuk selsema dan batuk
  • Untuk menurunkan paras gula dalam darah

Kesimpulan

PBKD dan BPFK bertanggungjawab memastikan ubat tradisional yang berada di pasaran adalah selamat dan berkualiti. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk memastikan ubat tradisional yang dibeli adalah ubat berdaftar yang mempunyai nombor MAL dan hologram. Pembelian ubat tradisional yang tidak berdaftar mendedahkan pengguna kepada risiko yang boleh membahayakan kesihatan dan lebih parah lagi berisiko untuk mengundang maut.

kredit :- MyHEALTH KKM

Rujukan

WHO, 2002. Drug Information. Herbal medicines. Vol.16. World Health Organization, Geneva
Ernst,E. 2002b. Toxic heavy metals and undeclared drugs in Asian herbal medicines. Trends in Pharmacological Sciences 23, 136-139.
NPCB, 2014. Drug Registration Guidance Document
http://www.foodsafety.govt.nz/industry/general/foodborne-illness/salmonella/

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...